Kata Kata Aluan Pengerusi

Koperasi Siswazah Ekonomi UKM Berhad (KSEUB)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Alhamdulillah, merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW, keluarga Baginda dan para sahabat. Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT dengan izin-Nya dan berkat kesabaran semua pihak kita dapat melaksanakan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Koperasi Siswazah Ekonomi UKM Berhad (KSEUB) kali ke-3 bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2024. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak SKM atas segala bimbingan dan sokongan yang diberikan untuk KSEUB terus melangkah biarpun terpaksa berhadapan dengan rintangan perniagaan.

Saya ingin berkongsi beberapa pencapaian dan perkembangan koperasi sepanjang tahun lalu. Koperasi telah mula bergerak secara aktif pada pertengahan tahun 2024 dan mula memperolehi keuntungan. Antara aktiviti perniagaan yang sedang dijalankan ialah aktiviti Pengurusan Pelajar. KSEUB telah berkolaborasi dengan Koperasi Siswazah Bangi Berhad (KSBB) untuk menguruskan pelajar dalam bidang Diploma Pascasiswazah Pendidikan (DPP) atau lebih dikenali sebagai DPLI, Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah. Aktiviti seterusnya ialah perlaksanaan Kerja-kerja Memelihara Kawasan Tanaman (Meracun) ladang FELCRA di Temerloh Pahang. Alhamdulillah, semua ini dicapai hasil kerja keras dan dedikasi setiap pihak dalam KSEUB. Koperasi berharap dengan inisiatif-inisiatif baharu ini akan memberi manfaat jangka panjang justeru membantu koperasi ini untuk terus relevan pada masa hadapan.

Pencapaian Koperasi adalah hasil sokongan padu dan usaha semua anggota. Oleh itu, saya menyeru kepada semua anggota untuk terus menyokong usaha koperasi ini, terutama dalam meningkatkan modal saham dan menyertai aktiviti-aktiviti koperasi. Saya mengucapkan ribuan terima kasih atas komitmen dan kepercayaan yang diberikan kepada saya serta Anggota Lembaga Koperasi. Saya berharap kita akan terus membangun bersama dalam membawa koperasi ini ke arah kejayaan yang lebih gemilang demi manfaat semua.
Akhir kalam, semoga maklumat dan perkhidmatan yang terdapat di dalam web ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua anggota KSEUB.

Selamat melayari laman web KSEUB.


WASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAH WABARAKATUH

DATO’ HAJI ZAZALI BIN HARON
Pengerusi